Kampung Gagu terletak kira-kira 45 kilometer dari Seremban, yang juga
kampung asal Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri
Dr. Rais Yatim.
Baru-baru ini kampung tersebut menjadi tumpuan berita apabila renjer
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri
Sembilan menangkap Buyung Gagu - gajah terakhir di hutan Jelebu - pada
24 Februari lalu.
Buyung Gagu disahkan sebagai gajah spesies Asia, iaitu hanya yang
jantan mempunyai gading berbeza dengan gajah Afrika, yang kedua-dua
jantina mempunyai gading besar.
Penangkapan Buyung Gagu seberat tiga tan itu menamatkan legasi gajah di Kampung Gagu.
Penghulu Kampung Gagu, Saad Harun, 57, masih teringat Buyung Gagu
ialah seekor daripada empat gajah yang berkeliaran di hutan kampung itu
sekitar tahun 60-an dan 70-an.
"Kumpulan itu terdiri daripada tiga ekor gajah dewasa dan seekor anak gajah.
Anak gajah itulah yang kami jumpa sebagai Buyung Gagu hari ini. Ia berusia lebih kurang 40 tahun," katanya kepada Bernama.
Tiga gajah dewasa itu sudah lama mati dan Buyung Gagu hidup sendirian
dan sesekali dilihat merayau-rayau di kawasan hutan jajahannya.
Pada tahun 2009, pembinaan Empangan Teriang dimulakan dan jika binaan
itu siap, kira-kira 2,000 hektar kawasan hutan berhampiran Kampung Gagu
akan ditenggelami air dan proses memenuhkan air di empangan itu selepas
siap nanti akan mengambil masa kira-kira setahun.
"Sejak empangan dibina dan jalan-jalan yang menjadi laluan hutan
gajah itu terputus, haiwan ini macam terkeliru. Ia kadang-kadang
tersesat ke pinggiran kampung," katanya.
Seorang penduduk kampung berkata sejak pembinaan empangan itu, Buyung
Gagu mula muncul di kawasan kebun dan rumah penduduk kampung,
menyebabkan mereka berasa bimbang jika gajah jantan itu mengamuk.
Mereka menganggap Buyung Gagu bukan sebarang gajah tetapi sangat bijak.
"Dia masuk kampung pada tengah malam. Bila masuk dia akan
meninggalkan jejak. Tapak kakinya kadang-kadang dipijak kecil dan kami
menyangka ada anak gajah yang masuk. Pada hari lain pula, Buyung Gagu
akan meninggalkan jejak seperti laluan seolah-olah ada kumpulan gajah
yang masuk ke kampung.
"Rupa-rupanya kesemua perbuatan ini dilakukan oleh seekor gajah sahaja," katanya.
Pada pendapat beliau, Buyung Gagu seperti gajah lain, mempunyai keinginan untuk menikmati makanan yang sedap seperti manusia.
"Apabila dia muak dengan pisang hutan, dia sanggup datang ke kebun
penduduk kampung untuk menikmati makanan yang lebih sedap," katanya.
Buyung Dagu juga akan muncul mengikut kitaran bulan.
"Ia bukan saja-saja muncul tanpa diduga, ada jadual waktunya.
Kadang-kadang ia datang untuk makan pisang yang ditanam penduduk
kampung, setahun sekali gajah ini akan menumbangkan pokok kelapa untuk
makan umbai kelapa," katanya.
Akibat kitaran atau jadual inilah yang menyebabkan Buyung Gagu mudah
dijejaki. Bagaimanapun pada 2009, Buyung Gagu berjaya melarikan diri
apabila renjer Perhilitan memasang perangkap. - Bernama