KEMBARA


Lagenda Lata Kijang, Jelebu, Negeri Sembilan
Diceritakan Oleh Penduduk-Penduduk Setempat

Hutan Lipur Lata Kijang (HLLK) yang dikunjungi ramai saban minggu, sebenarnya menyimpan cerita misteri yang sangat unik dan penuh lagenda yang hanya diketahui oleh segelintir masyarakat setempat sahaja. Menurut sejarahnya, tempat itu dinamakan sebagai Lata Kinjang kerana di kawasan itu terdapat banyak Kijang. Orang lnggeris yang pernah sampai ke tempat itu pada zaman silam kerana memburu Kijang telah tersalah sebut nama Kijang lalu berubah kepada nama "Kinjang" hingga kekal namanya sampai sekarang.

Ketua Kampung Lata Kijang, Tok Batin Taha Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Encik Haslam Abdullah ketika ditemui turut mengesahkan Lata Kinjang banyak menyimpan kisah misteri yang sangat unik. " Bila waktu lapang saya bercerita kepada anak cucu untuk mendengar kisah Lata Kijang " kata Tok Batin Husin yang menyebut lata tersebut telah diteroka oleh empat keturunan bermula daripada datuknya, Allahyarham Mat Yakin.

Setakat ini belum ada usaha-usaha untuk membukukan cerita-cerita misteri dan sejarah Lata Kinjang. Ini bermakna, apabila kalangan orang tua-tua meninggal dunia, sekaligus akan lenyaplah cerita lagenda Lata Kinjang untuk diketahui oleh generasi muda. Tok Batin Husin berkata, di sekitar lata itu terdapat beberapa kesan yang ada kaitannya dengan sejarah kemunculan Lata Kinjang sejak ditemui oleh manusia beratus tahun lalu. Dia sendiri mengetahui sejarah lata itu daripada cerita mulut yang didengar daripada datuknya Allahyarham Mat Yakin dan bapanya Allahyarham Taha. Beliau berharap, ada di kalangan sembilan orang anak dan dua belas orang cucunya akan menjadi penyambung cerita mengenai sejarah Lata Kinjang kepada sesiapa yang ingin mendengar kisahnya.

Encik Haslam pula menyebut, ditingkat tiga lata terdapat bekas kesan tapak kaki Kijang yang melarikan diri atas kawasan lata setelah dikejar oleh Harimau Akar yang telah disumpah oleh kelembai menjadi batu. Kesan tapak kaki Kijang dan batu besar dari lembaga Harimau Akar masih boleh dilihat tersergam ditingkat tiga lata tersebut.

Di kawasan lata itu juga terdapat kesan kubur anak kelembai yang terbaring memanjang dalam lubang kubur yang sudah menjadi batu, bekas tapak kaki kelembai termasuk lesong menumbuk padi yang telah disumpah menjadi batu.

Beliau turut menceritakan kisah misteri seorang wanita cantik yang dipercayai sebagai " Puteri Bunian " yang pernah menjelma di kawasan lata itu pada masa silam sehingga menarik perhatian seorang hartawan lnggeris yang bercita-cita ingin mengahwini puteri itu.

Menurut ceritanya, hartawan lnggeris itu yang secara kebetulan berkunjung ke Lata Kijang dalam tahun 1900, telah diberitahu oleh masyarakat Orang Asli di situ mengenai penjelmaan seorang wanita cantik di kawasan lata terutama pada musim bulan mengambang.

Kerana terlalu ingin hendak melihat wajah puteri bunian itu, hartawan lnggeris itu telah membina sebuah banglo ditingkat satu lata dan membina tangga batu dari bawah hingga kepuncak lata itu. Beliau membina banglo itu sebagai tempat penginapannya untuk melihat secara dekat wajah puteri bunian yang dikatakan sering menampakkan dirinya bila menjelang senja.

Tetapi, setelah menunggu berbulan-bulan di situ, hajat hartawan Inggeris itu tidak kesampaian, lalu dia merasa kecewa dan terus pulang ke negara asalnya di Eropah dan telah meninggal dunia beberapa bulan kemudiannnya. Banglo yang dibina dengan kos yang mahal telah musnah dan rosak sedikit demi sedikit dan sekarang hanya tinggal rangkanya sahaja.

Encik Haslam memberitahu, " Puteri Bunian " muncul ditengah-tengah lata untuk mandi bersama pakaian yang dipakainya dan berdiri tegak di atas batu lata dengan rambutnya yang panjang mengurai melepasi punggung. Puteri bunian itu yang disifatkan sebagai penunggu lata hanya menunjukkan dirinya beberapa minit sahaja kerana dia tidak mahu identitinya dikenali oleh manusia biasa.

Kini, lagenda Puteri Bunian itu hanya tinggal dalam lipatan sejarah sahaja kerana dia tidak muncul lagi di kawasan lata tersebut. Mungkin disebabkan lata tersebut telah menjadi tumpuan ramai dan dia enggan menjelmakan dirinya. Di kawasan lata itu juga terdapat serumpun pokok buluh perindu yang hanya boleh diambil oleh orang-orang tertentu sahaja. Allahyarham Seniman Agung P.Ramlee dikatakan memiliki Buluh Perindu yang diambil daripada Lata Kinjang untuk dijadikan ubat untuk memerdukan suaranya.

Encik Haslam memberitahu, di kawasan lata itu juga terdapat banyak kambing gurun tetapi sukar diperangkap kerana ianya sangat lincah dan pandai menghilangkan diri. Beliau berkata, semua cerita misteri yang berlaku di kawasan lata itu menjadi cerita lisan yang bersambung dari mulut ke mulut sahaja. Beliau sendiri mengetahui cerita misteri lata daripada datuknya, Allahyarham Mat Yakin.

"Saya bersetuju jika ada usaha untuk membukukan sejarah lagenda Lata Kijang dijalankan oleh mana-mana pihak sama ada menerusi cerpen, novel, puisi atau pembikinan drama filem " tegasnya. Beliau yakin, misteri lagenda Lata Kijang akan menarik perhatian khalayak jika dapat dijadikan drama atau filem.

sumber : kedah2U.com