Hutan Lipur Lata Kijang diarah tutup - MB
SEREMBAN 1 Sept. - Kawasan rekreasi Hutan Lipur Lata Kijang di Jelebu diarah tutup serta merta kepada sebarang aktiviti berikutan struktur tanah yang tidak selamat akibat hujan lebat dan tanah runtuh yang berlaku pada 20 Ogos lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, arahan itu berkuatkuasa hari ini dan orang ramai serta penggiat rekreasi diminta mematuhinya dan tidak memasuki kawasan rekreasi berkenaan sehingga diberitahu kelak.
''Berikutan itu semua aktiviti di Hutan Lipur Lata Kijang tidak dibenarkan sama sekali bagi mengelak sebarang tragedi berlaku. Kemudahan awam sedia ada di kawasan rekreasi itu juga tidak boleh digunakan dan kajian keselamatan struktur tanah kini dilakukan oleh Jabatan Geologi.
''Pengawasan ketat sedang dilakukan oleh Jabatan Perhutanan negeri dan agensi berkaitan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini hari ini.
Mohamad berkata, walaupun di kawasan rekreasi itu mempunyai tangga bagi membolehkan orang ramai mendaki sehingga ke kawasan air terjun yang paling tinggi, ia kini tidak lagi selamat untuk digunakan kerana struktur tanahnya tidak lagi kuat.
''Kawasan itu merupakan salah satu destinasi pelancongan terkenal di negeri ini, malah menyimpan pelbagai khazanah flora dan fauna selain pelbagai kehidupan rimba.
''Kawasan ini merupakan hutan yang kita jaga dan dikenal pasti sebagai hutan lembah biologi," katanya.
Menurutnya, kawasan yang terjejas itu melibatkan keluasan 6.47 hektar meliputi kawasan rekreasi untuk orang awam.
''Antara yang rosak termasuk jambatan gantung, tangga besi dan penghadang, satu unit tandas dan satu wakaf selain tapak perkhemahan dan laluannya.
''Kerosakan ini diakibatkan hakisan tanah, hujan lebat atau istilah perhutanan disebut 'kepala air' iaitu berlaku lambakan air dari hulu sungai sehingga ke kawasan air terjun tujuh tingkat ini," katanya.
Kawasan Hutan Lipur Lata Kijang mempunyai keluasan 379.9 hektar dan berada dalam kompartmen 188 dan 189.
Malah, kawasan yang biasanya digunakan oleh orang ramai untuk berkelah dan rekreasi juga dipenuhi pasir akibat hujan lebat dan hakisan tanah.
Turut terjejas ialah sebahagian atap bangunan dalam projek pembinaan Taman Alam Liar negeri di kawasan tersebut akibat pokok tumbang.
Hutan Lipur Lata Kijang dan Hutan Besar Gunung Hantu di Jelebu berada dalam kawasan Hutan Simpan Kenaboi dan apabila projek Taman Alam Liar negeri siap kelak, hutan lipur itu akan berada dalam pemerhatian taman tersebut.
sumber : utusan online 2/9/2010