Tuesday, July 13, 2010

Suku Adat Di Negeri Sembilan

Di Negeri Sembilan pengamal adat perpatih, idealnya terdapat12 suku, di sebut suku nan 12. Nama-nama suku yang terdapat dalam Luak Ulu Muar (18) adalah;

1.  Suku Biduanda
2.  Suku Tanah Datar Kurang dua limo puluh
3.  Suku Mungkal
4.  Suku Seri lemak Minang
5.  Suku Seri Melenggang
6.  Suku Tiga Batu
7.  Suku Tiga Nenek
8.  Suku Batu Belang
9.  Suku Paya Kumbuh
10. Suku Batu Hampar
11. Suku Anak Acheh
12  Suku Anak Melaka ( Tiada dalam suku Ulu Muar)
13. Suku Seri Lemak Minangkabau
14. Suku Seri Lemak Pahang
15. Suku Seri Lemak
16. Suku Biduanda Sungai Ujong
17. Suku Biduanda Jawa
18. Suku Tanah Datar Lapan Puloh

Setiap suku mempunyai Ketua iaitu Datuk Lembaga yang membawa gelaran mengikut suku masing-masing.

Sumber : YM Dato Seri Maharaja Hj. Khalid Bonget
              Tiang Balai,Penghulu Luak Ulu Muar ( "Seminar Adat Daerah Jelebu')

Monday, July 12, 2010

Sejarah Jelebu I

Tanah Jelebu itu sebenarnya satu sahaja... tak ada yang lain. Tapi disebabkan ramai orang pandai dan banyak hikayat direkacipta... maka ada macam-macam versi Jelebu yang timbul dari satu mulut ke satu mulut. Ada juga yang terbit dalam bentuk teks bertulis di dada akhbar, di perut majalah dan juga dibukukan sebagai jurnal akademik. Macam cendawan kukur tumbuh merutup di kayu getah mati lepas hujan. Tak tau nak pilih yang mana satu. Banyak sangat!

Saya bawakan di sini salah satu versi yang dianggap asli. Beginilah ceritanya:


Adat Perpatih - siri I

Dalam Adat,
Tak bersua, maka tak kenal
Tak kenal, maka tak cinto.

Di Negeri Sembilan adat masih berfungsi walaupun telah betapa lebih 650 tahun.

Pesako satu
Adat datar
Sungguhpun datar
Pusako tertentu
Berumpuk seorang satu
Berhak masing-masing
Bak apolah bertentunya
Berlopak-lopak bak sawah
Beruang-ruang bak durian
Berumpun-rumun bak serai
Berpuak-puak bak kerbau

Bersuku-suku anak buah
Hak nan bergodono
Harta nan bertuan
Berumpuk sorang satu
Berpunyo masing-masing
Hak orang jangan ditarik (ambik)
Hak kito jangan diagih
Mengecal merabo lubuk orang
Pantang bagi adat.

Sumber - seminar adat daerah jelebu

Thursday, July 8, 2010

Undang Luak Jelebu ke 15


YANG TERAMAT MULIA DATO’ MENDIKA MENTERI AKHIRUL ZAMAN DATO’ MUSA BIN WAHAB, D.T.N.S., PJK,
UNDANG LUAK JELEBU

YANG TERAMAT MULIA DATO’ MENDIKA MENTERI AKHIRUL ZAMAN DATO’ MUSA BIN WAHAB, D.T.N.S., PJK, Undang Luak Jelebu ke Lima Belas, dilahirkan pada 4 September 1937 di Kuala Klawang, Jelebu. Yang Teramat Mulia adalah daripada Suku Biduanda Waris Berundang Perut Sarin. Pada 4 Februari 1980, Yang Teramat Mulia telah dijunjungkan oleh Dato’ Menteri Sah Mangku Alang Raja Sari, Pesaka Dato’ Mendika Menteri Akhirul Zaman sebagai Undang Luak Jelebu yang ke Lima Belas.

Yang Teramat Mulia mula bersekolah di Sekolah Melayu Peradong pada tahun 1947, Sekolah Melayu Kampai pada tahun 1951 (darjah 6) dan kemudian di Sekolah Melayu Kuala Klawang pada tahun 1953 sehingga darjah 7. Minat Yang Teramat Mulia untuk menjadi guru tercapai apabila Yang Teramat Mulia memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) Tanjung Malim, Perak pada tahun 1954 – 1956.

Karier Yang Teramat Mulia sebagai guru bermula di Sekolah Melayu Triang, Jelebu. Sebagai seorang yang menghargai ilmu pengetahuan Yang Teramat Mulia terus meningkatkan taraf pencapaian akademiknya, Yang Teramat Mulia lulus peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) pada tahun 1960 dan lulus Cambridge School Certicate pada tahun 1962. Kecekalan Yang Teramat Mulia dalam menimba ilmu pengetahuan terserlah apabila berhasil lulus Sijil Tinggi Persekolahan (STP) melalui kursus secara pos dengan Stamford College Singapura dan Maktab Wosley Hall. Yang Teramat Mulia kemudian menyambung pelajarannya ke Universiti Malaya dalam bidang Sejarah dan Pengajian Melayu hingga memperolehi Sarjana Muda Sastera pada tahun 1970.

Yang Teramat Mulia bertugas sebagai seorang guru berijazah di kolej Tunku Kursiah, Seremban dan kemudian pada tahun 1972, Yang Teramat Mulia dilantik sebagai Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Port Dickson. Pada tahun 1977 – 1980 Yang Teramat Mulia menjadi Pengetua Sekolah Menengah Undang Jelebu.

Sebagai guru Yang Teramat Mulia berdamping rapat dengan dunia pendidikan dan ilmu pengetahuan. Pada tahun1974 Yang Teramat Mulia mengikuti kursus pengajian di peringkat Sarjana Pendidikan (MA Ed.) dan kursus bertulis dari Universiti London dalam bidang Undang-undang (LLB). Tetapi Yang Teramat Mulia hanya sempat menamatkan kursus Sarjana Pendidikan (Part 1) dan LLB (Intermediate).

Dalam bidang politik, Yang Teramat Mulia aktif dalam parti UMNO dan pernah menjadi ketua UMNO Cawangan Jelin, Ketua Biro Pendidikan / Agama UMNO Bahagian Jelebu dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jelebu. Yang Teramat Mulia juga pernah menjadi Pengerusi Kebudayaan PERKESAPP Negeri Sembilan, Ahli Jawatankuasa Pengakap Daerah Jelebu dan Ahli Jawatankuasa PEMADAM Daerah Jelebu. Yang Teramat Mulia juga aktif dalam persatuan pengakap dan pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pengakap Daerah Jelebu. Yang Teramat Mulia juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Negeri Sembilan.

Yang Teramat Mulia pernah mewakili Persatuan Islam Universiti Malaya melawat Indonesia. Pada tahun 1973 semasa menjadi Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Port Dickson, Yang Teramat Mulia mengikuti lawatan sambil belajar ke Jepun anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dan Yayasan Jepun. Pada tahun 1974 Yang Teramat Mulia sekali lagi berpeluang melawat sambil belajar ke Sarawak dan pada tahun yang sama juga menghadiri persidangan Commonwealth Education Administrators di Pulau Pinang, sebagai wakil kerajaan Malaysia.

Yang Teramat Mulia telah berkahwin dengan Toh Puan Manoriah binti Ahmad Bidawi pada 30 September 1961 dan telah dianugerahkan tiga orang anak lelaki dan di samping mengangkat dua orang anak angkat perempuan.

Undang Luak Jelebu ke- 12

Saturday, July 4, 2009
Datuk Abdullah, Undang Luak Jelebu
Datuk Abdullah, Undang Luak Jelebu Yang Unggul
MARILAH KITA KENALI PEJUANG BANGSA INI
MENGENANGKAN JASA BELIAU MEMARTABATKAN MELAYU







Datuk Abdullah bin Panglima Muda

Datuk Abdullah bin Panglima Muda hidup sezaman dengan dua Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, iaitu Tuanku Muhammad Shah ( 1888-1933 ) dan Tuanku Abd.Rahman (1933-1957). Sezaman dengan Datuk Undang Luak Johol, Datuk Kamat, Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Kelana Maa'mur dan Undang Luak Rembau, Datuk Abdullah bin Dahan. Zaman pemerintahannya selama 43 tahun ( 1902-1945), sebagai Undang Luak Jelebu yang ke-12 dengan memakai gelaran Datuk Mendalika Menteri Akhir Zaman penuh dengan kenangan manis serta cerita-cerita pelik dan ganjil, hebat dan menakjubkan sehingga menjadi buah mulut yang diperkatakan sepanjang masa. Walaupun Datuk Abdullah Panglima Muda telah lama bersemadi, ( beliau meninggal pada tahun 1945, kerana sakit tua di Kampung Peradong, Kuala Klawang) dalam daerah Jelebu tidak dapat dilupakan begitu sahaja.
Antara kisah yang paling menarik ialah dalam tahun 1920-an, pada masa itu Datuk Abdullah sudahpun menjadi Undang dan tinggal di rumah sendiri dekat Kampung Peradong, tidak jauh daripada Kuala Klawang. Sewaktu malam sewaktu dalam perjalanan pulang dari Kelab Kuala Klawang, tatkala sedang melintasi sebuah jalan selekoh di tepi lereng Bukit Serian dekat dengan Bandar Tinggi ( kawasan ini terletak antara Kuala Klawang dan Kampung Peradong) tiba-tiba kereta kuda yang sedang dipacu oleh Datuk Abdullah berhenti dan tidak mahu jalan. Puas diusahakan, kuda-kuda itu tidak mahu bergerak dan sesuatu kejadian yang seram dan menakutkan telah menimpa Datuk Abdullah. Satu lembaga besar yang tidak dapat digambarkan dalam malam yang gelap gelita telah muncul dan menghalang perjalanan Datuk Abdullah, lalu terjadilah pergelutan yang hebat yang berakhir dengan Datuk Abdullah dapat mencabut bulu betis lembaga hitam itu ( menurut ceritanya, bulu itu bentuknya seakan-akan lidi daun enau). Semenjak kejadian itu, Datuk Abdullah dipercayai mendapat sesuatu kekuatan yang luarbiasa sehinggakan pada masa-masa tertentu gajah besar, harimau dan binatang-binatang liar yang lain sering kelihatan berkeliran di kediamannya dekat Kampung Peradong.Bukan setakat itu sahaja, Datuk Abdullah bin Panglima Hitam juga dikatakan telah mencabut misai harimau belang di hutan Kenaboi, Jelebu. Ini bukannya cerita dongeng, tetapi kisah yang benar-benar berlaku. Orang-orang tua di Keneboi, ramai yang tahu akan kisah-kisah ini dan ada diantaranya mereka mendakwa pernah melihat sendiri misai harimau belang itu. Kejadian ini berlaku dalam tahun 1920-an, waktu beliau baru sahaja dilantik menjadi Undang Jelebu.Datuk Abdullah juga telah menerima Pingat C.B.E yang dianugerahkan oleh King George V pada tahun 1935. Setelah kematian Datuk Abdullah, pingat itu telah diwarisi oleh anak lelaki sulungnya, Mohd.Sharif. Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abd.Rahman telah menjejakkan kaki kediaman rasmi Datuk Abdullah, Undang Luak Jelebu untuk menyaksikan Datuk Abdullah bin Panglima Muda menerima Pingat C.B.E yang telah disampaikan oleh Sir Shenton Thomas, Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu bersekutu pada tahun 1935.Datuk Abdullah bin Panglima Muda juga ditakuti oleh sesiapa sahaja kerana kegerunan yang ada pada dirinya. Tuanku Muhammad Shah juga pernah ditegur oleh Datuk Abdullah. Datuk Abdullah bin Panglima Muda telah menegur Tuanku Muhammad kerana membiarkan orang ramai menunggu terlalu lama di bawah panas terik matahari sewaktu kemangkatan Permaisuri Tuanku Muhammad Shah, Tuanku Ampuan Halijah di Istana Seri Menanti pada tahun 1921. Tuanku Muhammad hanya mendiamkan diri sementara Tengku Muda Chik (Mentua Tuanku Muhammad Shah) yang terkenal dengan sifat tegasnya juga tidak berani membantah. Baginda hanya memandang sambil tersenyum tawar. Ketegasan Datuk Abdullah bin Panglima Muda memang diakui oleh semua orang termasuk Residen British di Negeri Sembilan beliau digelar sebagai " Lion Of Jelebu".

Ada satu lagi kisah yang menarik berkaitan dengan Datuk Abdullah, di dalam satu mesyuarat di kediaman Pegawai Daerah Jelebu, Datuk Undang Abdullah telah ditegur oleh Sir Andrew Caldecott, Pegawai Kanan British yang berkhidmat di Seremban, kerana tali kasutnya tidak diikat dengan betul. Menurut cerita, Datuk Abdullah bin Panglima Muda naik berang dan menyergah orang putih itu, " kalau begitu, awak saja yang ikat tali kasut kawan....!!" Caldecott tergaman dan terketar-ketar, tanpa berlengah lagi beliau tunduk badan lalu mengikat tali kasut Datuk Abdullah. Semua orang yang hadir termasuk pegawai daerah tidak dapat berbuat apa-apa. Sejak kejadian hari tersebut Datuk Abdullah sentiasa dihormati. Semua orang akan berhati-hati apabila hendak berkata-kata dengan Datuk Abdullah.Beberapa tahun selepas kejadian itu, ( 1931), Sir Andrew Caldecott dilantik menjadi Ketua Setiausaha Tanah Melayu.

Pada 10hb Ogos 1945, Datuk Abdullah bin Panglima Muda telah menghembuskan nafas yang terakhir ketika berusia 74 tahun di Kampung Jelin.

Ihsan/petikan (C) ceranablog.blogspot.com

Wednesday, July 7, 2010

Lumba 3 Ekor Pontianak

Maka tersebutlah kisah perihal 3 ekor pontianak. Memasing nak nunjuk siapa yang paling terer. Mereka pun mengadakan sebuah pertandingan tunjuk sapa paling power. Pontianak yang paling muda diberi kesempatan untuk memulakan pertandingan. Lalu dia pun terbang secepat kilat, tak sampai 2 minit dah balik. Mukanya penuh dengan lumuran darah, dan menyeramkan.

Terus dia berkata : "Nkorang nampak kampung kat seberang bukit itu ?" Yang dua ekor pontianak tu ngangguk, "Iya, nampak. "Satu kampung tu itu...habiissss aku kerjakan!!!!"

Angin jugak dua ekor pontianak tu dengar keangkuhan pontianak muda. Kini giliran pontianak yg setengah abad tu pulak. Dia pun pergi sekelebat jugak, tak sampai 1 minit dah balik, mukanya juga penuh dengan cucuran darah.

"Nkorang nampak Bandar tu ?", katanya dengan muker yg kerek "Iya, nampak", yang dua ngangguk juga. "Satu bandar itu juga habiiissssss!!!", kata pontianak yg setengah abad sambil ketawa seram," ha ha ha hah".

Pontianak yang satunya lagi tambah panas, dia pun nak show off jugak. Dia pun tunjukk skill terbang cam kilat. Amat lah terperanjat nya dua sahabatnya, sebab tak sampai setengah minit dia dah balik, dengan penuh cucuran darah di mukanya...

Lalu pontianak yg 2 ekor tu berkata, "gilaa ahh dia ni tak sempat aku nak duduk dia dah balik, memang dia paling power". Sambil mengosok gosok idong nya pontianak tu pun berkata , "Nkorang nampak tembok batu tu ?"

"Nampak! Nampak!", kata yang 2 ekor tu...

"Err aku tadi tak nampak".

jelebu masjid kg. dulang

Saturday, July 3, 2010

DATO' MOYANG SALLEH KE JOHOR

DATO' MOYANG SALLEH MEMUTUS TALI KE JOHOR

Pada suatu ketika dahulu, daerah Jelebu di Negeri Sembilan berada di bawah pemerintahan Sultan Johor. Kononnya baginda seorang yang zalim dan tingkah laku baginda tidak disenangi oleh Datok Penghulu Jelebu.

Datok Uban iaitu Penghulu Rembau mempunyai seorang anak gadis yang cantik bernama Seri Banun. Bila Sultan Johor mendapat tahu kecantikan gadis itu maka baginda menghantar utusan tapi pinangan baginda ditolak sebab Seri Banun sudah bertunang dengan seorang pemuda bernama Si Amat.

Sultan Johor murka lalu memerintahkan Datok Penghulu Rembau datang mengadap tetapi beliau enggan sebaliknya menyuruh Si Amat iaitu tunang Seri Banun ke Johor sebagai pengganti. Baginda Sultan merasa terhina lalu bertanya kepada Si Amat kenapa hasrat baginda hendak mengahwini Seri Banun di tolak.
" Ampun, Tuanku. Seri Banun itu tunang patik," sembah Si Ahmad.
" Putuskan pertunangan kamu!" titah sultan.
" Ampun Tuanku," sembah Si Amat. " Patik tidak sanggup mungkir janji sebab sekali kita mungkir janji seumur hidup orang tidak akan percaya."
Baginda bertambah murka lalu memerintahkan Si Amat di bunuh. Pengawal istana segera menghayunkan pedangnya ke leher Si Amat tetapi senjata itu tidak melukainya kerana Si Amat memiliki ilmu kebal.
" Tuanku," kata Si Amat." Patik ini anak pembesar. Mengikut adat anak pembesar tidak boleh dibunuh. Tetapi kalau tuanku nak bunuh juga maka gunakan keris patik dan tikamkan ke rusuk sebelah kiri patik."
Mendengar itu lalu Sultan mencabut keris Si Amat lalu menikam rusuknya dan dengan sekali tikaman saja maka Si Amat pun mati. Datok Penghulu Rembau merasa amat sedih dengan kematian Si Amat akibat di bunuh oleh Sultan Johor. Maka beliau pun mengadukan hal tersebut kepada Moyang Salleh Datok Penghulu Jelebu.
Moyang Salleh turut merasa simpati dengan kematian Si Amat dan beliau bersetuju mengadap sultan Johor untuk bertanya kenapa pembunuhan itu dilakukan oleh baginda.
Maka Moyang Salleh pun bertolak ke Johor dengan membawa empat orang pengiringnya iaitu Tok Gagah Lela Perkasa, Tok Laut Api, Tok Beruang Hitam, dan Tok Bauk. Dan mereka mempunyai kegagahan dan kesaktian masing-masing.
Apabila sampai di Johor baginda Sultan tidak menerima mereka mengadap malah disuruh berdiri di halaman istana sahaja. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati Moyang Salleh dan pengiringnya tambahan pula beliau pembesar tanah jajahan sultan.
Tiba-tiba langit gelap menandakan hujan lebat akan turun. Sultan yang duduk di anjung istana bersama pengiring hanya memerhatikan sahaja tanpa mempelawa naik ke istana. Baginda seolah sengaja hendak membiarkan utusan dari tanah jajahan itu basah kuyup di halaman istana.
Apabila hujan turun maka Moyang Salleh membuka destarnya lalu melambungkan ke atas dan tiba-tiba destar itu bertukar menjadi payung. Dengan ini mereka berlima tidak basah.
Kemudian pengiring-pengiring Datok Moyang Salleh pula menunjukkan kehebatan masing-masing. Datok Gagah Lela Perkasa menggarukan belakangnya pada batang kelapa yang tumbuh di halaman istana menyebabkan buah- buah kelapa yang masak berguguran jatuh ke tanah.
Tok Beruang Hitam pula menunjukkan kekuatan tangannya dengan mencakar dinding istana hingga tercabut. Manakala Tok Laut Api pula bila menghembuskan nafasnya keluar api hampir membakar langsir istana.

Sultan Johor merasa hairan melihat kejadian itu sekaligus merasa tercabar seolah Moyang Salleh dan para pengiringnya sengaja hendak menunjuk kehandalan di depan baginda.
" Beta mahu kamu tunjukkan pula kehandalan kamu kepada mereka," titah Sultan kepada pembesar istana.
" Ampun Tuanku," sembah Datok Bendahara. " Setahu patik tidak ada sesiapa di negeri Johor ini mempunyai ilmu setanding dengan mereka."
Sultan terdiam sambil berfikir. " Kalau bagitu benarkan meraka mengadap." titah baginda.
Datok Bendahara menjemput Moyang Salleh dan para pengiringnya naik ke istana mengadap Sultan tetapi mereka mengenakan syarat mesti disediakan jamuan kerana mereka merasa amat lapar.
" Sediakan nasi lima puluh gantang dan lauknya seekor kerbau," kata Moyang Salleh.
" Makanan sebanyak itu biasanya untuk seratus orang," kata Datok Bendahara hairan.
" Jika baginda setuju kami akan naik ke istana tapi jika tidak setuju biarkan kami di sini sahaja," kata Moyang Salleh pula.
Mahu tidak mahu Sultan terpaksa menerima syarat itu kerana bimbang utusan dari Jelebu itu bertindak liar. Dan apabila jamuan sudah disediakan makan Moyang Salleh dan para pengiringnya naik ke istana.
Sekali lagi Sultan Johor dan pembesar-pembesar istana hairan bila mendapati makanan yang mereka hidangkan habis di makan oleh Moyang Salleh dan para pengiringnya.
" Benarkan mereka mengadap beta kemudian suruh balik segera ke Jelebu," tutah Sultan Johor.
" Beginikah cara tuanku melayan pembesar tanah jajahan?" tanya Moyang Salleh sebaik sahaja mengadap Sultan.
" Apa maksud kalian datang ke Johor tanpa diundang?" tanya Sultan pula.
Oleh kerana terlalu marah dan merasa terhina dengan sikap Sultan maka Moyang Salleh lupa tujuan asalnya datang ke Johor. Apa yang terlintas dalam fikirannya ialah tidak mahu bertuankan Sultan yang tidak betimbang rasa.
" Patik datang untuk memutuskan tali dengan Johor. Mulai hari ini Jelebu merdeka dari pemerintahan tuanku," kata Moyang Salleh.
" Beta tak setuju!" titah Sultan.
" Alamat negeri Johor akan huru hara kami kerjakan. Akan berlaku pertumpahan darah di bumi Johor ini," kata Moyang Salleh pula.
Kerana bimbang dengan tindak balas Moyang Salleh dan para pengiringnya akhirnya Sultan Johor bersetuju walaupun berat hati baginda melepaskan Jelebu keluar dari tanah jajahan baginda.
Baginda menganugerahkan Moyang Salleh cap mohor sebagai pemerintah " Bergajah Tunggal" dengan membawa gelaran Datuk Mendalika Akhir Zaman Sultan Jelebu.

Kemudian baginda Sultan menyuruh Datok Moyang Salleh dan para pengiringnya meninggalkan Johor dengan segera. Semasa turun dari istana Datok Moyang Salleh mencabut pedangnya lalu dicantasnya tempayan yang terletak di tepi tangga balairong. Kerana tajamnya mata pedang Datok MOyang Salleh dan tetakannya yang kuat maka tempayan itu putus dua, tetapi masih tegak seperti biasa seolah tidak nampak bekas cantasan mata pedang pada tempayan itu.
" Selagi tempayan ini putus maka selagi itulah hubungan antara Jelebu dengan Johor akan putus," kata Datok Moyang Salleh lalu meninggalkan istana Sultan Johor.

sumber: Persatuan Sejarah Jelebu