Saturday, July 3, 2010

DATO' MOYANG SALLEH KE JOHOR

DATO' MOYANG SALLEH MEMUTUS TALI KE JOHOR

Pada suatu ketika dahulu, daerah Jelebu di Negeri Sembilan berada di bawah pemerintahan Sultan Johor. Kononnya baginda seorang yang zalim dan tingkah laku baginda tidak disenangi oleh Datok Penghulu Jelebu.

Datok Uban iaitu Penghulu Rembau mempunyai seorang anak gadis yang cantik bernama Seri Banun. Bila Sultan Johor mendapat tahu kecantikan gadis itu maka baginda menghantar utusan tapi pinangan baginda ditolak sebab Seri Banun sudah bertunang dengan seorang pemuda bernama Si Amat.

Sultan Johor murka lalu memerintahkan Datok Penghulu Rembau datang mengadap tetapi beliau enggan sebaliknya menyuruh Si Amat iaitu tunang Seri Banun ke Johor sebagai pengganti. Baginda Sultan merasa terhina lalu bertanya kepada Si Amat kenapa hasrat baginda hendak mengahwini Seri Banun di tolak.
" Ampun, Tuanku. Seri Banun itu tunang patik," sembah Si Ahmad.
" Putuskan pertunangan kamu!" titah sultan.
" Ampun Tuanku," sembah Si Amat. " Patik tidak sanggup mungkir janji sebab sekali kita mungkir janji seumur hidup orang tidak akan percaya."
Baginda bertambah murka lalu memerintahkan Si Amat di bunuh. Pengawal istana segera menghayunkan pedangnya ke leher Si Amat tetapi senjata itu tidak melukainya kerana Si Amat memiliki ilmu kebal.
" Tuanku," kata Si Amat." Patik ini anak pembesar. Mengikut adat anak pembesar tidak boleh dibunuh. Tetapi kalau tuanku nak bunuh juga maka gunakan keris patik dan tikamkan ke rusuk sebelah kiri patik."
Mendengar itu lalu Sultan mencabut keris Si Amat lalu menikam rusuknya dan dengan sekali tikaman saja maka Si Amat pun mati. Datok Penghulu Rembau merasa amat sedih dengan kematian Si Amat akibat di bunuh oleh Sultan Johor. Maka beliau pun mengadukan hal tersebut kepada Moyang Salleh Datok Penghulu Jelebu.
Moyang Salleh turut merasa simpati dengan kematian Si Amat dan beliau bersetuju mengadap sultan Johor untuk bertanya kenapa pembunuhan itu dilakukan oleh baginda.
Maka Moyang Salleh pun bertolak ke Johor dengan membawa empat orang pengiringnya iaitu Tok Gagah Lela Perkasa, Tok Laut Api, Tok Beruang Hitam, dan Tok Bauk. Dan mereka mempunyai kegagahan dan kesaktian masing-masing.
Apabila sampai di Johor baginda Sultan tidak menerima mereka mengadap malah disuruh berdiri di halaman istana sahaja. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati Moyang Salleh dan pengiringnya tambahan pula beliau pembesar tanah jajahan sultan.
Tiba-tiba langit gelap menandakan hujan lebat akan turun. Sultan yang duduk di anjung istana bersama pengiring hanya memerhatikan sahaja tanpa mempelawa naik ke istana. Baginda seolah sengaja hendak membiarkan utusan dari tanah jajahan itu basah kuyup di halaman istana.
Apabila hujan turun maka Moyang Salleh membuka destarnya lalu melambungkan ke atas dan tiba-tiba destar itu bertukar menjadi payung. Dengan ini mereka berlima tidak basah.
Kemudian pengiring-pengiring Datok Moyang Salleh pula menunjukkan kehebatan masing-masing. Datok Gagah Lela Perkasa menggarukan belakangnya pada batang kelapa yang tumbuh di halaman istana menyebabkan buah- buah kelapa yang masak berguguran jatuh ke tanah.
Tok Beruang Hitam pula menunjukkan kekuatan tangannya dengan mencakar dinding istana hingga tercabut. Manakala Tok Laut Api pula bila menghembuskan nafasnya keluar api hampir membakar langsir istana.

Sultan Johor merasa hairan melihat kejadian itu sekaligus merasa tercabar seolah Moyang Salleh dan para pengiringnya sengaja hendak menunjuk kehandalan di depan baginda.
" Beta mahu kamu tunjukkan pula kehandalan kamu kepada mereka," titah Sultan kepada pembesar istana.
" Ampun Tuanku," sembah Datok Bendahara. " Setahu patik tidak ada sesiapa di negeri Johor ini mempunyai ilmu setanding dengan mereka."
Sultan terdiam sambil berfikir. " Kalau bagitu benarkan meraka mengadap." titah baginda.
Datok Bendahara menjemput Moyang Salleh dan para pengiringnya naik ke istana mengadap Sultan tetapi mereka mengenakan syarat mesti disediakan jamuan kerana mereka merasa amat lapar.
" Sediakan nasi lima puluh gantang dan lauknya seekor kerbau," kata Moyang Salleh.
" Makanan sebanyak itu biasanya untuk seratus orang," kata Datok Bendahara hairan.
" Jika baginda setuju kami akan naik ke istana tapi jika tidak setuju biarkan kami di sini sahaja," kata Moyang Salleh pula.
Mahu tidak mahu Sultan terpaksa menerima syarat itu kerana bimbang utusan dari Jelebu itu bertindak liar. Dan apabila jamuan sudah disediakan makan Moyang Salleh dan para pengiringnya naik ke istana.
Sekali lagi Sultan Johor dan pembesar-pembesar istana hairan bila mendapati makanan yang mereka hidangkan habis di makan oleh Moyang Salleh dan para pengiringnya.
" Benarkan mereka mengadap beta kemudian suruh balik segera ke Jelebu," tutah Sultan Johor.
" Beginikah cara tuanku melayan pembesar tanah jajahan?" tanya Moyang Salleh sebaik sahaja mengadap Sultan.
" Apa maksud kalian datang ke Johor tanpa diundang?" tanya Sultan pula.
Oleh kerana terlalu marah dan merasa terhina dengan sikap Sultan maka Moyang Salleh lupa tujuan asalnya datang ke Johor. Apa yang terlintas dalam fikirannya ialah tidak mahu bertuankan Sultan yang tidak betimbang rasa.
" Patik datang untuk memutuskan tali dengan Johor. Mulai hari ini Jelebu merdeka dari pemerintahan tuanku," kata Moyang Salleh.
" Beta tak setuju!" titah Sultan.
" Alamat negeri Johor akan huru hara kami kerjakan. Akan berlaku pertumpahan darah di bumi Johor ini," kata Moyang Salleh pula.
Kerana bimbang dengan tindak balas Moyang Salleh dan para pengiringnya akhirnya Sultan Johor bersetuju walaupun berat hati baginda melepaskan Jelebu keluar dari tanah jajahan baginda.
Baginda menganugerahkan Moyang Salleh cap mohor sebagai pemerintah " Bergajah Tunggal" dengan membawa gelaran Datuk Mendalika Akhir Zaman Sultan Jelebu.

Kemudian baginda Sultan menyuruh Datok Moyang Salleh dan para pengiringnya meninggalkan Johor dengan segera. Semasa turun dari istana Datok Moyang Salleh mencabut pedangnya lalu dicantasnya tempayan yang terletak di tepi tangga balairong. Kerana tajamnya mata pedang Datok MOyang Salleh dan tetakannya yang kuat maka tempayan itu putus dua, tetapi masih tegak seperti biasa seolah tidak nampak bekas cantasan mata pedang pada tempayan itu.
" Selagi tempayan ini putus maka selagi itulah hubungan antara Jelebu dengan Johor akan putus," kata Datok Moyang Salleh lalu meninggalkan istana Sultan Johor.

sumber: Persatuan Sejarah Jelebu

No comments:

Post a Comment